MINDA TERKINI MENUJU JALAN TAQWA...

Doa Senjata Orang Mukmin, Sedekah Lebih Tajam Dari DOA


Jumaat, 18 November 2011

Manisnya menjadi wanita




Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari empat aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.
Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita Muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan ALLAH Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya tumbuhan yang kecil.

Tidakkah anda melihat betapa Islam telah meletakkan wanita pada kedudukan semanis-manisnya? Jika semua saranan Rasulullah ini dituruti ia cukup manis, semua yang bertentangan menjadikannya pahit bagai hempedu.

Kemanisan wanita akan hilang apabila apa yang dilakukannya bertentangan dengan kejadiannya yang asal. Seorang wanita menjadi kupu-kupu. Dia tidak pulang ke rumah sebaliknya bersidai di tempat yang tidak senonoh hingga larut malam. Apakah itu manis? Sudah tentu tidak, sebab tempat seorang wanita ialah di rumah tatkala malam telah melabuhkan tirainya. Sekiranya dia perlu berada di luar, dia berada di tempat yang selamat lagi munasabah. Misalnya berada di majlis ilmu, berada di tempat kerja dalam sif-sif tertentu, berada di tempat himpunan keluarga. Tetapi seandainya dia berada di tempat selain itu dia sudah tidak tergolong sebagai wanita manis.

Hati orang normal akan mengatakan hal ini benar, tetapi hati orang yang ‘sakit’ akan mengatakan ini salah.

Suatu ketika dulu, ada seorang gadis mendatangi saya. Dia mengadu betapa susahnya menjadi perempuan. Katanya, pergerakan perempuan terbatas. Semua yang dilakukan oleh perempuan menjadi perhatian.

Susah menjadi gadis sebab dia akan mengalami kesakitan-kesakitan berjadual. Alangkah mudahnya jika dia menjadi lelaki, dia akan bebas ke mana-mana saja tanpa sekatan.

Gadis ini beriya-iya mengatakan hidupnya akan lebih bermakna sekiranya dia dilahirkan sebagai lelaki.

Lalu saya pun memberi contoh kehidupan rama-rama. Kata saya rama-rama selalu menyangka kehidupannya payah. Dia dilahirkan dalam bentuk pulpa. Terpaksa tinggal lama dalam kepompong. Kemudian apabila keluar dari kepompong dia terpaksa menjalani hidup sebagai ulat. Tatkala begini dia terdedah pada bahaya disambar burung. Manusia pun geli melihat ulat. Tetapi tatkala dia sudah menjadi rama-rama dia akan menghiurkan penglihatan sesiapa saja. Tatkala dia mengembangkan sayapnya semua akan terpukau kagum.

Alangkah manisnya kitaran hidup rama-rama sebab dia dilahirkan untuk mewarnai alam. Alam menjadi ceria dengan kehadiran rama-rama. Hampir semua orang akan terpukau melihat rama-rama. Manusia seganas mana pun akan berasa lunak melihat rama-rama.

Demikianlah wanita, dia warna alam yang cukup berharga dan dihargai. Tanpanya, dunia tidak akan semeriah ini. Setiap insan lahir dari manusia bernama wanita. Alangkah manisnya menjadi wanita sebab dia unsur terpenting dalam kewujudan alam ini sedemikian rupa.

Kalau kita hendak melihat keburukan bukan satu yang akan kita jumpa, kalau kita hendak mencari kebaikan dan keindahan bukan satu dua juga yang akan kita temui. Apa pun, ingatlah, “Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Muslim)

Selasa, 8 November 2011

Ukhwah...


Dalam kegersangan erti pada nama persahabatan
Moga aku dipertemukan dengan kesuburan ukhuwwah
Dengan mereka;
yang membuatku lebih dekat pada Tuhan,
lebih taat pada ajaran dan
lebih cinta akan akhirat.

Mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah,
kerana tiada lain yang mengikatnya melainkan aqidah. 

Mereka yang tabah mengharungi kepahitan dalam perjuangan,
demi kemanisan syurga idaman.

Mereka yang bersama-sama ingin menjadi orang yang beruntung,
biarpun keinginan itu menjadikan mereka asing.

Menjadi Sang Pembina

Aku telah melihat sendiri warna jahiliyah di bumi asing ini. Kali ini ia tidak lagi kelabu...tetapi amat hitam. Tetapi, masih ramai yang membiarkan warna itu terus menyaluti hati, sehinggakan semakin samar penglihatan mereka terhadap kesucian agama ini. Lantas dikejarlah keindahan fatamorgana dunia. Bersama bin dan binti di hujung nama, keseronokan diburu. Mencari-cari peluang baru. Peluang merasakan sendiri kebebasan tanpa batasan. Tiada lagi pandangan-pandangan serong masyarakat seiman, tak perlu lagi silu dan segan. ..

Sedangkan dalam hatinya sendiri, iman mengetuk bertalu-talu.
Berhentilah, berhentilah!
Namun tidak diendahkan semua itu.
Lalu disahut seruan nafsu.
Berulangkali ia terjadi, sehingga suatu hari,
hati itu tak berkata apa lagi.
Perlahan, ia menyepi...kemudian mati.

nauzubillah...

***
Demi kalimah yang hak

Semua itu kita tanggung bersama.

Maka jadikanlah aku Sang Pembina.

Menyusuri satu-satunya jalan yang ada, menuju Dia.

Perit dan pahit, itu pasti...biarpun aku sendiri belum pernah mengerti walau secebis pun dari kepayahan itu.

Namun, bukankah Allah telah membeli dari orang mukmin seluruh harta dan jiwa mereka dengan memberikan syurga buat mereka? (9: 111)

Maka jadikanlah aku Sang Pembina.

Seorang daripada mereka yang didatangkan oleh Allah, 
Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela (5: 54).

Aku mahu menjadi Sang Pembina
kerana adalah kewajipanku sebagai seorang hamba,
Untuk kemuliaan tanggungjawabnya,
dan demi kelazatan susah yang inginku nikmati bersama.

Aku mahu menjadi Sang Pembina
bukan sekadar pemerhati gerhana.