MINDA TERKINI MENUJU JALAN TAQWA...

Doa Senjata Orang Mukmin, Sedekah Lebih Tajam Dari DOA


Sabtu, 30 April 2011

BANGUNKAN HATI UNTUK DAPAT AKHLAK MULIA

Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah.
Budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan.
Dari pembangunan jiwa, lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri. Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik.
Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: Maksudnya: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.” Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia.
Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan, apabila dia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahui olehmu itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimus-solatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pem- bangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pem- bangunan material dan fizikal. Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin.
Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.
Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)
Sabda Baginda lagi: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)
Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengab memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orangNya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama-ul-amilin, paling tidak orang yang soleh.
Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: akhlak kepada Allah
Kedua: akhlak kepada manusia
Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakkal, khusyuk, khuduk. Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka.
Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.
Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.

BAGAIMANA KEMAHUAN NAFSU DAN SIFAT MARAH BERADA DALAM KAWASAN SEDERHANA?

Dikatakan yang akhlak itu boleh menerima perubahan dengan cara latihan iaitu berdasarkan kemahuan nafsu syahwat dan sifat marah pada manusia itu yang boleh dikembalikan pada kawasan sederhana dengan syarat kedua-dua sifat itu dibawah kawalan dan pimpinan akal. Jangan terjadi sebaliknya dalam mana salah satu daripada sifat itu iaitu samada kemahuan nafsu syahwat atau sifat marah menguasai akal. Tetapi akal hendaklah dapat melawan dan mengalahkan kedua sifat itu. Dengan demikian kemahuan nafsu syahwat akan dapat dibawa pada kawasan sederhana. Begitu jugalah dengan sifat marah.

Dikatakan yang kedua sifat itu dikembalikan pada kawasan sederhana bererti bahawa bukanlah hendak kita kekang kedua-dua sifat itu hingga tidak ada langsung rasa berkemahuan syahwat dan rasa marah pada diri kita ini. Dan tidak pula hendak kita lakukan ke dua-dua sifat itu hingga kita dorong kedua-duanya mengikut sekehendaknya. Jadi sederhana yang dikatakan di sini ialah keadaan pertengahan di antara yang melampaui dan yang berkurangan. Dan untuk membawa kedua-dua sifat itu kepada keadaan sederhana, akal mesti menjadi penasihat atau akal mesti menjadi pengawal. Dalam erti kata yang lain, akal adalah menjadi penentu kepada kehendak-kehendak nafsu syahwat dan sifat marah.
Kalau kedua-dua sifat marah dan kemahuan nafsu syahwat itu dapat dikawal dan dipimpin oleh akal hingga kedua-duanya berada dalam keadaan pertengahan, maka itulah yang dikatakan mengubah akhlak. Itulah yang dikatakan mengubah akhlak daripada jahat kepada baik, daripada melampau kepada sederhana dan daripada yang tidak diredhai oleh Allah kepada yang diredhai oleh Allah. Tetapi perlulah kita ingat bahawa dalam kebanyakan hal, kedua sifat itu terutamanya kemahuan nafsu syahwat lebih dapat mengawal dan menguasai akal kita hingga kita didorong melakukan kejahatan. Ertinya, kalau kita tidak pandai, kelak akan kita dapat dijajah oleh kehendak nafsu syahwat terutamanya hingga akal kita tidak berdaya upaya untuk menolak kehendak nafsu syahwat itu. Akhirnya akal kita akan mendorong kita melakukan kemungkaran dan maksiat seperti mendorong kita memfitnah, mengumpat dan mengeji; mendorong kita bergaul bebas antara lelaki dan perempuan; mendorong kita berzina; mendorong kita meminum arak; mendorong kita bermain judi; mendorong kita membunuh dan berbagai-bagai lagi maksiat-maksiat lain.
Kita dapati di sini bahawa, kalau akal kita itu sudah dikuasai oleh nafsu, akal nanti akan memikir apa yang dikehendaki oleh nafsu sahaja. Tentulah kemahuan jahat sahaja yang akan difikirkan oleh akal. Maka kita nanti akan berbuat kejahatan sahaja. Apabila hal ini berlaku pada diri kita, mesti ada usaha ikhtiar dari kita untuk membawa balik kemahuan nafsu syahwat itu pada keadaan pertengahan. Ertinya, mesti kita usahakan supaya akal dapat semula menguasai kemahuan nafsu. Bagaimanakah yang mesti kita lakukan?
Menurut apa yang diterangkan di dalam kitab Mauizatul Mukminin, kita mesti melakukan latihan kerohanian atau latihan jiwa. Melalui jalan ini, kita nanti akan dapat membawa kembali kemahuan nafsu syahwat dan juga sifat marah itu kepada keadaan pertengahan. Kebenaran ini dapat dibuktikan dengan kita meninjau sedikit sejarah kehidupan manusia dulu-dulu. Kalau kita baca sejarah manusia dulu-dulu, kita akan dapati yang mereka itu hidup dalam dua alam iaitu alam kesesatan dan alam kebenaran, alam kejahatan dan alam kebaikan. Alam kesesatan dan alam kejahatan dan maksiat yang mereka tempuh itu kadang-kadang amat dahsyat sekali hingga kita merasakan yang kita pun tidak pernah menempuh kejahatan dan kemaksiatan sedemikian rupa. Tetapi selepas itu sejarah telah memaparkan kepada kita bahawa mereka-mereka ini setelah menempuh latihan jiwa dan latihan keroha- nian melalui mujahadatunnafsi, mereka masuk pula ke alam kebaikan dan kebenaran. Ketika itu, mereka dapat mengawal nafsu syahwat dan sifat marah mereka hingga tunduk kepada perintah Allah S.W.T.
Di antara bukti-bukti yang telah berlaku di dalam sejarah, di sini kita bawakan beberapa kisah perseorangan sebagai contoh. Diantaranya kesah Bisyru al Hafi, Malik bin Dinar dan Ibrahim Idham. Adapun Bisyru al Hafi adalah seorang kaya yang kehidupan begitu mewah. Dia mempunyai rumah yang besar dan indah serta cukup pula dengan pelayan-pelayan dan gundek-gundeknya. Dia hidup di tengah-tengah bandaraya Baghdad.
Bisyru al Hafi ini begitu terpesona sekali dengan kehidupan mewah serta harta kekayaannya. Tetapi kemudiannya dia menjadi seorang yang baik, malah dia adalah seorang wali Allah. Ini adalah hasil dia melakukan latihan jiwa dan riadhatunnafsi yang bersungguh-sunguh. Di dalam dia sedang khayal dengan kehidupan mewahnya itu, suatu hari rumahnya didatangi oleh seorang tua. Orang itu memberi salam tetapi yang menyambut salamnya itu ialah salah seorang daripada penjaga rumah Bisyru kerana ketika itu Bisyru sedang duduk-dudukditengah rumah. Orang tua itu berkata kepada penjaga rumah yang menyambut salamnya itu, “Tolong sampaikan salam saya kepada tuan engkau dan katakan padanya, “Apakah secara ini tuan dihidupkan oleh Allah?’ Katakan kepadanya, orang yang di muka pintu itu yang bertanya.”
Penjaga rumah itu pun masuk lalu memberitahu kepada Bisyru tentang salam orang tua tadi serta pertanyaan yang dikemukakannya. Mendengar itu, Bisyru al Hafi bangun menuju ke pintu tetapi orang tua tadi sudah hilang. Bisyru ingin mengejarnya dari belakang. Kerana terlalu gopohnya, dia terlupa memakai sepatu hingga berlarilah dia tanpa bersepatu. Itu sebab namanya Bisyru al Hafi iaitu Bisyru yang tidak bersepatu atau berlapik kaki. Bisyru al Hafi ini adalah sezaman dengan Imam Ahmad bin Hanbal.
Bisyru yang mengejar dari belakang tadi akhirnya menemui orang tua yang memberi salam tadi. Dia pun meminta agar orang tua itu mengulang kembali pertanyaannya selepas saja dia memberi salam. Orang tua itu pun berkata, “Apakah secara ini kamu dihidupkan oleh Allah?” Maksud orang tua itu ialah tentang kehidupan Bisyru al Hafi yang bermewah-mewah, berumah besar, megah dengan kekayaan hingga lupa Allah, lupa akhirat, lupa neraka Allah, lupa syurga Allah. Apakah itu caranya dia dihidupkan oleh Allah.
Mendengar pertanyaan orang tua itu, Bisyru menjadi takut lalu dia lari sejauh-jauhnya meninggalkan kemewahan dunianya. Dia terlupakan harta kekayaan dan kemuliannya lalu membawa hatinya kerana dia begitu takut kepada Allah. Akhirnya dia belajar, mencari ilmu, melakukan riadhatunnafsi hingga dia dapat mengawal kemahuan syahwatnya. Akhirnya dia menjadi seorang sufi yang terkenal malah menjadi seorang wali Allah. Kalau dulu dia seorang yang ternama dan duduk di tengah kota Baghdad, tetapi kini dia duduk di hujung kota Baghdad.
Daripada cerita ini jelas kita dapati bahawa seorang yang sebelumnya lupa Allah, lupa Rasul dan lupa akhirat kerana dilalaikan oleh hartanya boleh menjadi seorang soleh malah menjadi seorang wali Allah dengan jalan riadhatunnafsi dan dengan jalan meletakkan kemahuan syahwatnya kepada keadaan pertengahan.
Seterusnya cuba kita singkap sedikit kesah seorang raja besar di kota Baghdad bernama Ibrahim Idham. Di waktu dia lupa Allah, Ibrahim Idham selalunya memilih hari Jumaat untuk pergi berburu sedangkan dia tahu pada hari itu merupakan pantang larang masyarakat Islam untuk keluar berburu kerana semua orang mesti pergi ke masjid untuk sembahyang Jumaat. Tetapi Ibrahim Idham sengaja memilih hari Jumaat untuk mengelakkan sembahyang Jumaat itu. Apa lagi, rakyat jelata pun mulailah bercakap-cakap tentang Ibrahim Idham. Cuma, memang sudah Allah kehendaki begitu. Memang Allah saja yang menghendaki untuk memilih hamba-hamba-Nya. Kerana itu, pada suatu ketika sedang Ibrahim Idham berburu itu, tiba-tiba dia terdengar satu suara daripada bawah pelana kudanya berkata, “Wahai Ibrahim, apakah ini caranya tuan dihidupkan oleh Allah?” Maksudnya seolah-olah suara itu bertanya apakah dengan cara berburu itu saja Allah hidupkan dia. Ibrahim Idham terperanjat mendengar suara itu lalu dia pun mencari-cari di bawah pelana kudanya, siapakah yang berkata itu. Dilihatnya tidak ada siapa.
Dia terus berburu lagi dan tidak beberapa lama suara yang serupa tadi kedengaran lagi. Dia pun mencari suara itu tetapi tidak juga berjumpa. Akhirnya dipastikannya betul-betul dari mana datang suara itu. Rupa-rupanya memang betul suara itu datang dari bawah pelana kudanya tetapi orangnya tidak ada. Lantaran itu dia tersentak hingga dia teringat Allah. Kemudian terasa dia begitu takut kepada Allah. Dia terasa yang selama ini dia telah derhaka kepada Allah, lupa sembahyang, lupa puasa dan lain-lainnya.
Akhirnya dia lari membawa diri. Untuk mengelirukan pengikut yang sama berburu dengannya, dia menukar pakaiannya kepada pakaian compang camping macam rakyat jelata. Dalam dia lari membawa diri serta membawa hatinya itu, dia berusaha melakukan riadhatunnafsi. Dia mendidik semula hatinya dan membawa akalnya supaya dapat menguasai nafsunya. Natijah dari itu, akhirnya dia menjadi seorang yang soleh malah sejarah ada mengatakan yang dia juga menjadi seorang wali Allah.
Jadi dari cerita ini dapat juga kita perhatikan betapa seorang yang begitu derhaka hingga lupa Allah dan tidak mahu melakukan semua perintah-Nya, tetapi dengan tekad dirinya dan dengan keazaman yang kuat, dia dapat membaiki dirinya dengan izin Allah S.W.T. Jadi, ini jugalah buktinya bahawa nafsu syahwat dan sifat marah itu boleh dididik dan dibawa kepada kadaan sederhana. Caranya dialah dengan kita melakukan riadhatunnafsi. Ertinya, kita juga boleh melakukanya. Soalnya ialah samada kita tekad atau tidak, bersungguh-sungguh atau tidak. Kalau kita bersungguh-sungguh, kata Allah, maksudnya: “Orang yang sungguh-sungguh berjihad (melawan hawa nafsu dan mencari keredhaan Allah) nescaya Kami akan menunjukkan kepada mereka itu jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama orang berbuat baik.”
Di sini Allah berkata kepada kita yang kalau kita benar-benar berjuang dan berjihad hendak melawan hawa nafsu, hendak benar-benar tunduk kepada perintah Allah, hendak benar-benar mencari keredhaan Allah serta hendak benar-benar mendekatkan diri kepada Allah, maka seterusnya Allah mengatakan kepada kita yang nescaya Allah akan membukakan jalan-jalanNya. Ertinya Allah akan bantu kita tetapi yang pentingnya ialah kita mesti bersungguh-sungguh.
Kemudian, untuk kita berjuang melawan hawa nafsu serta melakukan latihan jiwa hingga sifat marah dan hawa nafsu itu dapat kita letakkan pada keadaan pertengahan, maka kita perlu mengetahui beberapa pekara. Di antara perkara-perkara yang perlu kita tahu ialah kita hendaklah gunakan kal kita untuk menyuluh nafsu kita. Kita perlu mengetahui tentang kehendak- kehendak nafsu kita serta tentang perjalanan bathin kita. Apabila telah kita suluh nafsu kita itu, nanti kita akan mengetahui ke mana kehendaknya serta ke mana kemahuanya. Nanti kita akan tahu ke mana nafsu itu hendak menghalakan kita.
Semua ini dapat kita suluh dengan akal. Setelah kita menyuluh perjalanan nafsu kita dengan akal hingga kita dapat mengetahui kehendaknya serta hala yang hendak ditujukannya kita, namun kita masih belum dapat menilai lagi bisikannya itu kalau kita tidak memiliki ilmu pengetahuan syariat yang ada hubungan dengan soal-soal hati atau soal-soal bathin dan soal-soal nafsu. Kita perlu memiliki ilmu pengetahuan yang berhubung dengan sifat-sifat terkeji atau mazmumah dan kita juga perlu tahu tentang sifat-sifat hati yang terpuji atau mahmudah. Kalau tidak tidak memiliki ilmu pengetahuan tersebut, walaupun kita tahu kehendak nafsu serta halanya, kita masih tidak dapat menilai apakah kehendaknya itu diredhai oleh Allah atau tidak, halal atau haram, sah atau batal.
Untuk ini, ilmu yang dikehendaki ialah ilmu tasawuf. Untuk menilai apakah kehendak nafsu itu diredhai Allah atau tidak, maka ilmu tasawuf adalah perlu. Tidak cukup kalau kita hanya memiliki ilmu feqah kerana ia hanya menyuluh soal-soal lahir saja. Dan begitu juga tidak cukup dengan ilmu kalam atau tauhid kerana ilmu itu hanya menyuluh iktikad kita. la dapat menyuluh soal-soal kebathinan dan soal-soal kerohanian. Kenalah kita pelajari tentang sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat mahmudah.
Setelah kita memiliki ilmu di bidang tasawuf ini, maka nanti kita akan dapat menilai apakah kehendak nafsu itu diredhai Allah atau tidak, halal atau haram walaupun kita dapat menyuluh perjalanan nafsu itu dengan akal kita, tetapi kita tidak dapat menilai kehendaknya apakah baik atau jahat. Yang demikian tidaklah dapat kita mengetahui samada hendak kita dorong nafsu itu atau hendak kita kekang. Kalau kita dorong, boleh jadi kehendaknya jahat. Atau kalau kita kekang, boleh jadi kehendaknya baik. Tetapi dengan adanya pengetahuan ilmu tasawuf pada kita, kita dapat tahu kehendak-kehendak nafsu yang jahat dan yang baik. Jadi apabila kehendak nafsu itu menghala kita kepada jahat, maka kita tahan dan kita kekang kehendaknya walaupun kita terseksa dan walaupun jiwa kita menderita akibatnya. Inilah yang dikatakan berlawan dengan hawa nafsu.
Kalau begitu, tidaklah boleh kita hanya belajar feqah sahaja atau belajar tauhid saja. Kenalah kita belajar sama ilmu tasawuf kerana ilmu ini dapat menyuluh perjalanan nafsu kita serta mengetahui kehendak-kehendaknya apakah diredhai Allah atau tidak. Tetapi yang hairannya, di masa ini, orang sudah tidak mahu sangat belajar ilmu tasawuf kerana mereka ilmu ini membawa manusia beku. Kata mereka ilmu ini tidak progresif. Nampaknya mereka ini sudah tersilap nilai dan tersilap tafsir.
Yang sebenarnya, ilmu tasawuf ini adalah ibarat stering atau ibarat pemandu di dalam kita berbuat, di dalam kita berjuang dan berjihad, di dalam kita berusaha dan berikhtiar supaya apa yang kita buat dan apa yang kita usaha dan ikhtiarkan itu dapat kita letakkan pada tempat yang Allah kehendaki. Kalau demikian, tidaklah beku. Ilmu tasawuf tidak pula menyuruh kita supaya jangan berjuang, jangan berjihad, jangan berbuat, jangan berusaha dan berikhtiar. Ilmu tasawuf bukan fungsinya penghalang tetapi ia mengatur. Jadi berbuatlah, berusahalah dan berikhtiarlah tetapi hendaklah disusun dan diatur melalui pengawalan akal yang mana akal itu ialah yang telah dapat menguasai hati. Kerana apabila akal telah dapat menguasai hati, bermakna ia telah dapat menguasai raja. Maka raja akan menjadi baik kerana menerima nasihat dari akal. Yang demikian itu, nafsu tidak lagi dapat menguasai raja, malah dia terpaksa menerima arahan dari raja, iaitu hati. Yang demikian juga, kejahatan dapat dipatahkan kerana nafsu yang selalunya bertindak jahat itu telah dapat ditundukkan oleh hati yang meminta nasihat daripada akal.
Hari ini, kerana orang ramai sudah tidak mahu lagi belajar ilmu tasawuf kerana katanya ilmu itu bawa kita mundur dan beku, akhirnya hati mereka menerima nasihat dari nafsu. Akibatnya, kita dapati tidak arnanah sana dan tidak amanah sini, rosak sana dan rosak sini. Dan semakin laju mereka berusaha, semakin kuat dia mementingkan diri sendiri. Akhirnya rasuah sana dan rasuah sini. Inilah akibat daripada tidak mahu belajar ilmu tasawuf. Malah yang lebih buruknya bagi orang yang tidak ada ilmu tasawuf, kadang-kadang sudah nyata syariat lahirnya betul tetapi belum tentu selamatnya lagi. Kalau begitu, betapalah lagi bagi orang yang syariat lahirnya tidak betul. Seperti apa yang dibuatnya tidak betul, apa yang dilihatnya tidak betul, apa yang didengarnya tidak betul, apa yang dimakan dan diminumnya tidka betul dan lain-lainnya semua tidka betul. Sedangkan setengah-setengah orang yang luarnya betul pun, kadang-kadang dalamnya masih belum tentu lagi, kalau dia tidak disuluh dengan ilmu tasawuf.
Umpamanya seorang tok guru itu mengajar fardhu ain. Orang ramai pula datang mendengarnya. Siapa pun tidak boleh mengatakan salah. Tok guru yang mengajar itu pun betul, orang yang datang mendengar juga betul. Masing-masing menjalankan perintah syariat yang mana orang yang tahu mesti mengajar dan orang yang tidak tahu mesti belajar. Tetapi belum tentu lagi dua-dua itu sesuai dengan syariat. Tetapi, belum tentu lagi dua-dua itu selamat. Boleh jadi tok guru yang mengajar ada rasa takabur, bermegah-megah dan sebagainya. Ini tidak ada siapa yang tahu. Hanya Allah saja yang tahu. Namun apa yang kita nampak di segi zahirnya, kedua-duanya sudah tepat dan sesuai dengan syariat. Tetapi, belum tentu selamat kalau perjalanan hati itu tidak disuluh benar-benar. Jadi penting sekali ilmu tasawuf. Sebab itu ada ulama-ulama tasawuf mengatakan yang barangsiapa tidak belajar ilmu tasawuf, dia ditakuti mati di dalam “suulkhotimah” (jahat kesudahan) walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, puasanya banyak, perjuangannya gigih, sedekahnya banyak, pengorbanannya kuat dan sebagainya. Mengapa? Kerana dia tidak tahu bathinnya. Dia tidak boleh menilai bathinnya kerana dia tiak belajar ilmu tasawuf.
Seterusnya, apabila kita telah mengetahui perjalanan nafsu kita serta kita dapat menilai kehendak-kehendaknya itu, maka kenalah kita ada pula ilmu syariat di bidang kebathinan. Manakala sudah ada ilmu itu, maka kita rasa-rasalah hati kita ini. Kemana ia hendak pergi. Katalah ia hendak mengaji, hendak ke masjid, hendak mendengar dakwah, hendak bersilaturrahim, hendak berziarah orang sakit, ziarah orang mati dan lain-lainnya, maka jangan pula kita tahan. Kerana semua ajakan itu adalah sesuai dengan syariat. Tetapi setelah kita suluh, kita dapati ia mengajak kita ke panggung wayang, ke disko, ke peleseran taman bunga, ke kelab malam, ke meja judi dan sebagainya, maka hendaklah kita tahan kehendaknya. Kerana ia bertentangan dengan syariat. la dilarang oleh Allah dan Rasul.
Kemudian apabila kita telah dapat menilai dan mengetahui kehendak nafsu itu dengan ilmu hingga kita tahu samada hendak dikekang atau hendak didorong kemahuan itu, masih lagi kita belum selamat kalau tidak ada tekad di dalam diri kita. Kita masih lagi belum selamat kalau kita tidak azam sungguh-sungguh melawan hawa nafsu itu. Umpamanya, kalau ia mengajak kita ke panggung wayang, kenalah kita tekad sungguh-sungguh melawan kehendaknya itu. Begitu juga, kalau dia menghalang kita untuk menuju ke jalan yang diredhai Allah, kita hela dan kita dorongkan juga sungguh-sungguh walaupun terseksa dan menderita jiwa kita. Inilah peringkat tekad menempuh, tekad mengusahakan dan tekad melaksanakan. la mesti ada pada diri kita.
Apabila telah sampai kepada peringkat ini iaitu apabila Allah telah memerhatikan yang kita telah benar-benar terseksa dalam menentang kehendak nafsu dan terseksa dalam melaksanakan kehendak syariat kerana dihalang nafsu, maka ketika itu datang kasih sayang Allah kepada kita. Ketika itu datang belas kasihan Allah kerana diperhatikan-Nya yang kita benar-benar mencari keredhaan- Nya, benar-benar hendak mendekatkan diri kepada-Nya. Dan ketika itulah Allah memberi pertolongan kepada kita dengan mencampakkan rasa di dalam hati kita ini. Apabila teringat saja hendak buat baik seperti hendak sembahyang, hendak mengaji, hendak berpuasa, hendak berjuang dan berjihad, hendak membangunkan masyarakat Islam, hendak bersedekah dan berkorban, hendak berkasih sayang, hendak berakhlak dan sebagainya, maka Allah akan campakkan di dalam hati kita rasa seronok hendak berbuat.
Masa itu, kita tidak lagi berlawan dan kerana itu tidak ada lagi rasa sakit dan menderita. Malah di dalam hati kita timbul rasa seronok dan lazat. Sebaliknya apabila teringat saja akan maksiat dan kejahatan, rasa benci timbul di dalam hati. Kita rasa jijik dan meluat kepada maksiat. Cuma bagi kita yang masih dalam peringkat berlawan-lawan ini, rasa terseksa itu masih ada. Maklumlah, kita masih dalam peringkat berperang yang mana nafsu juga turut isytihar perang dengan kita. Maka pada adatnya, di dalam peperangan samada yang kalah mahupun yang menang, kedua-duanya terseksa. Bak kata pepatah, “Menang jadi arang, kalah jadi abu”. Tetapi oleh kerana kita melakukan peperangan yang hak, walaupun ditakdirkan kita terkorban, namun kita tetap mendapat pahala.
Namun, kalau kita sungguh- sungguh dan tekad benar-benar di dalam peperangan ini, maka apabila datang bantuan Allah, nafsu itu akan kalah dan tunduk kepada arahan kita. Kita yang menguasai nafsu ketika itu. Ibarat kita jadi penunggang, nafsu jadi kuda. Kita pun akan menghalakan nafsu itu ke mana yang kita kehendaki, sesuai dengan kehendak syariat tunduk di bawah pengawalan akal dan syariat. Seterusnya, syaitan juga tidak akan dapat menghasut manusia demikian kerana syaitan amat takut kepada orang yang bertaqwa. Pernah diriwayatkan tentang takutnya syaitan terhadap ketaqwaan Sayidina Umar hinggakan jalan yang pernah ditempuh oleh Sayidina Umar tidak akan ditempuh lagi oleh syaitan. Jangankan syaitan hendak datang mengganggu Sayidina Umar, jalan yang ditempuhnya pun tidak berani ditempuh lagi oleh syaitan.
Ada pun yang dikehendaki pada akhlak itu, misalnya sifat pemurah, ialah sifat yang diletakkan di antara membazir dan kedekut. Bila seseorang itu membuang-buang hartanya, dia dikatakan membazir. Katalah seorang itu mengorbankan hartanya hingga tidak kira tempat samada yang sesuai syariat atau pun tidak, tetap dia dikatakan membazir. Di dalam Al Quran, Allah berkata maksudnya: “Orang yang membazir adalah sahabat-sahabat syaitan.”
Jadi kalau kita hendak tahu siapa sahabat syaitan, kita tengok saja orang yang suka membazir. Dia itu adalah sahabat syaitan. Kemudian kalau seseorang itu terlalu menahan sangat hartanya hingga yang hak pun tidak mahu dikorbankannya, maka itu dianggap kedekut atau bakhil. Orang yang bersifat demikian juga adalah salah kerana ada keterangan syariat yang bermaksud: “Orang bakhil itu musuh Allah.” Yang demikian, kalau kita hendak kenal pula siapa musuh Allah, kita tengok saja orang bakhil. Maka itu, orang yang membazir pun Allah tidak suka, orang yang kedekut pun Allah larang. Yang Allah kehendaki ialah sifat di antara kedekut dengan membazir. Itulah yang dikatakan sifat pertengahan yang Allah kehendaki. Jangan korban sesuka hati dan jangan pula ditahan terus. Allah berkata di dalam Al Quran, maksudnya: “Mereka-mereka yang apabila membelanjakan harta mereka, tidaklah sampai mereka itu membuang-buang sampai membazir dan tidak pula mereka menahan hartanya sampai menjadi bakhil, tetapi diletakkan di pertengahan antara itu.” (Al Furqan : 67)
Di dalam ayat yang lain Allah berkata, maksudnya: “Janganlah kamu menjadikan tangan kamu terbelenggu ke lehermu (bakhil) dan jangan pula membuka dengan cara yang seluas-luasnya (membazir).” (Al Isra’ : 29) Di dalam ayat ini Allah menggunakan kata-kata sindiran “tangan yang terbelenggu ke leher” seolah-olah memaksudkan kepada orang yang bakhil yang tangannya seperti tidak boleh dibuka lagi. Allah tidak mahu orang yang bersifat demikian. Juga Allah tidak suka orang yang membelanjakan harta- hartanya seluas-luasnya pula.
Ertinya dikorbankan untuk apa saja tidak kira sesuai dengan syariat atau tidak. Umpamanya, dia belanjakan untuk membangunkan surau atau masjid, membela anak-anak yatim serta fakir miskin, membantu masyarakat Islam tetapi di samping itu dia juga membantu membangunkan panggung wayang, mengorbankan harta untuk mengadakan sambutan Pasaria, membuat pentas joget, majlis tari menari dan lain-lainnya. Ini juga tidak betul. Allah tidak kehendaki demikian. Yang Allah mahu ialah, korbankanlah harta itu untuk kebaikan dan tahanlah harta itu manakala ia tidak sesuai dengan syariat. Tetapi kalau lebih berkorban hinggakan perkara-perkara yang diluar syariat pun dikorbankan, itu dinamakan membazir. Manakala kalau ditahan langsung hingga tidak berkorban langsung, maka itu dinamakan bakhil. Jadi yang Allah kehendaki ialah pertengahan di antara ke dua itu. Itulah yang dikatakan orang yang pemurah.
Sehubungan dengan ini, kita hendak bawakan suatu kisah antara orang alim di zaman dahulu. Ada satu orang alim datang menziarah seorang sahabat lamanya juga seorang alim tetapi dia berjawatan mufti di waktu itu. Orang alim itu lihat rumah mufti ini begitu besar dan indah. Di dalamnya ada perabut-perabut cantik serta barang-barang hiasan yang berbagai-bagai.
Pada suatu ketika orang alim itu pun hendak mengambil air sembahyang. Tidak tahu sebab apa, orang alim ini mengambil air sembahyang dengan membasuh muka sampai empat kali, lebih daripada tiga kali basuh. Perbuatan itu ternampak oleh mufti ini. Dia pun berkata kepada sahabatnya itu. “Maaf tuan, saya lihat tuan ini sudah membazir. Tuan membasuh muka empat kali.”
Maka dijawab oleh orang alim itu, “Benar saya membazir. Tetapi tuan dengan rumah bear serta perabut-perabut yang banyak ditambah pula dengan hiasan-hiasan yang tidak berfaedah itu, lebih-lebih lagi membazirnya.”
Mendengar kata-kata demikian, tersenyap tuan mufti itu tadi. Rupa- rupanya dia yang sudah sampai ke taraf mufti pun, tidak tahu apa yang dikatakan membazir. Yang dinampaknya membazir dari segi mengambil air sembahyang saja.
Kemudian, sebagai contoh yang lain, yang dikatakan pertengahan pada makan itu ialah sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu makan dan minum tetapi jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.”
Pertengahan pada makan bererti sekadar yang boleh menguatkan badan untuk kita membuat ibadah kepada Allah S.W.T. Kita makan sekadar untuk menguatkan fizikal kita untuk boleh melaksanakan kehendak-kehendak Allah. Umpamanya, kalau kita makan sepinggan atau dua pinggan sudah mengenyangkan, maka cukuplah sekadar itu. Tetapi kalau kita makan lebih dari itu, ertinya kita sudah rakus tentang makan. Bukan dikatakan orang yang menyederhanakan makannya kalau dia makan tidak kira masa. Apa saja yang dilihatnya dia beli dan makan, tidak kira baru selepas tadi dia telah makan. Ertinya, dalam masa satu hari itu, orang ini boleh makan sampai tujuh atau lapan kali. Ini juga dikatakan rakus tentang makan. Manakala yang sebaik-baiknya bagi keadaan di negara kita ini ialah seperti yang menjadi kelaziman kita, makan tiga kali sehari iaitu pagi, tengahari dan malam. Sekiranya, kurang dari itu, dikatakan kurang dan sekiranya lebih dari itu dikatakan berlebihan. Kedua-duanya sudah salah.
Salahnya kalau kita makan terlalu kurang daripada yang dikehendaki ialah kerana yang demikian boleh menyebabkan kita lemah hingga tidak lalu hendak melaksanakan ibadah, lemah kita berjuang dan berjihad. Kecualilah, sudah tidak ada apa makanan yang hendak dimakan. Tetapi kalau ada makanan dan mampu makan dengan secukupnya, tetapi ditahan-tahan, maka itu adalah salah. Kerana ada setengah- setengah orang kerana hendak mengikut Rasulullah yang makan tiga biji tamar dengan segelas air zam zam satu hari, dia pun makan nasi atau biskut sekadar sukatan tiga biji tamar dengan segelas air. Akhirnya dia mendapati dirinya lemah longlai hingga hendak beribadah pun tidak mampu.
Jangan jadi salah faham sedemikian. Adapun buah tamar juga air zam zam adalah makanan yang disebut oleh Allah kerana hasiat tamar dan air zam zam itu adalah lebih. Bukan seperti makanan kita dan air kita. Jadi kalau kita makan, sukatannya bukan berdasarkan tiga biji tamar tetapi adalah mengikut sukatan kadar kenyang seperti memakan tiga biji tamar. Sebab itulah, kita mesti tahu dalam mentafsir pengertian agama.
Jadi dalam kita makan, hendaklah dibawa kepada pertengahan iaitu makanlah tetapi jangan terlalu kurang hingga tidak larat hendak beribadah. Dan jangan pula berlebih lebih sangat hingga kita menjadi rakus tentang makanan. Kemudian, yang dikatakan pertengahan pada sifat marah itu adalah sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Bersangatan kerasnya terhadap orang kafir (engkar dan mungkar) tetapi berkasih sayang sesama mukmin.”
Demikian gambaran tentang sifat marah orang mukmin yang berada pada pertengahan. Iaitu orang orang-orang mukmin itu sikapnya bertegas serta tidak mahu bekerjasama dengan sebarang perbuatan orang kafir dan orang-orang yang engkar serta mungkar kepada Allah. Manakala orang mukmin pula amat berkasih sayang sesama mukmin iaitu sifat mereka itu penuh tawadhuk, rendah diri, pemaaf, lemah lembut dan sebagainya. Demikianlah yang dikatakan sifat marah yang sebenar. Bukannya, lembut sentiasa hingga dipijak orang dan bukan pula hendak marah sebilang masa hingga tidak kena pada tempatnya. Demikian itu, dikatakan orang yang tidak pandai mengawal sifat marahnya pada pertengahan. Dia marah tidak bertempat dan dia berlembut juga tidak bertempat. Orang yang marah tidak bertempat adalah termasuk orang yang dayus. Umpamanya, orang buat mungkar dia tidak marah, orang caci Allah, caci Rasul, caci Al Quran dan caci sunnah, dia tetap berlembut. Tidak langsung ada sifat marahnya. Ini orang dayus.
Jadi, orang yang dapat membawa sifat marahnya pada pertengahan ialah orang yang dapat berkasih sayang sesama mukmin dan bertegas dengan orang yang engkar dan mungkar kepada Allah. Bertegas di sini bererti, tidak mahu bekerjasama dengan perbuatan orang-orang yang engkar dan mungkar seperti perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan Al Quran dan sunnah. Bila kita menunjukkan sikap kita yang tidak mahu bekerjasama dengan perbuatan orang-orang yang mungkar itu, maka itulah yang dikatakan kita marah.
Oleh yang demikian, jelaslah pada kita di sini bahawa kemahuan hawa nafsu dan juga sifat marah kita boleh dibawa kepada keadaan sederhana sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat. Pokoknya, ada usaha ikhtiar dari kita yang bersungguh-sungguh. Dalam usaha itu, pertamanya hendaklah kita suluh ke mana perjalanan hawa nafsu kita. Manakala setelah kita tahu perjalanan nafsu itu, kita suluh pula nilainya dengan ilmu syariat yang berhubungan dengan masalah kebathinan. Setelah itu barulah kita bertindak yang mana kalau kehendak nafsu itu sesuai dengan syariat, maka kita dorong ia tetapi kalau tidak sesuai dengan syariat, kita kekang ia. Apabila kita boleh berbuat demikian, maka akhlak kita akan berubah. Inilah yang dikatakan mengubah akhlak daripada buruk kepada baik. Dan hal ini boleh dilakukan sepertimana yang telah pernah dilakukan oleh orang-orang zaman dahulu yang mana telah kita gambarkan tentang cerita-ceritanya di awal tadi.

Khamis, 7 April 2011

maha baik Tuhan..

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang
perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat
tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya
sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya
merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk
pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang
diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh
jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.
Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang
kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum
menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.
Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah
teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan
perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku
memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia
sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung
jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika
sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang
jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya
semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana
inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini
kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit
bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula
didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum
terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang
untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua
itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil
berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan
masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa
perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk
berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara
aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,
jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang
perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.
Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.
Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan
dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia
membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang
terjadi? Tempenya masih belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada
Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil.
Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil
jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang
jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe
yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para
pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama
penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu
seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil
jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih
menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan
langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah
penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita."Maaf ya, saya
ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari
tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih
belum berjumpa lagi."

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak
berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya
mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di
depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan, saat ini
aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula,
Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun
penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan
bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak
membeli tempe yang belum jadi?"
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan
ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi
supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang
sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana
tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah
pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap
apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita
sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan
Allah Maha Berkuasa...

CINTA ALLAH.

Tuhan meletakkan syarat yang cukup tinggi sebagai tanda aras sebesar mana saja cinta kita kepadaNya. Janganlah kita sangka cinta Tuhan itu semurah bunga atau cincin yang biasa kita berikan pada mereka yang dicintai. 

Kita lihat bagaimana Tuhan perlakukan kekasih-kekasihnya didalam percintaan mereka. Para rasul dan nabi ialah orang yang paling dicintai Tuhan. Tapi,apa yang Tuhan lakukan pada mereka? 

Sejarah menceritakan perihal nabi-nabi dan rasul berhadapan dengan jutaan onak dan duri didalam melaksanakan amanah yang Tuhan berikan. Tidak ada antara mereka yang menempuhi jalan mudah didalam berdakwah. Semuanya pahit. Tidak tertanggung oleh kita. Lihat saja bagaimana Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Nabi Musa berhadapan dengan kekejaman Fir’aun. Bahkan Nabi Muhammad yang merupakan makhluk yang paling disayangi Tuhan juga tidak terlepas dari segala macam dugaan. 

Tsunami jepun...

Segeralah sedar,segeralah kembali pada Tuhan yang mencatur semua ini! Jangan sampai Tuhan bertindak lagi. Katakanlah pada Tuhan betapa kita sudah sangat takut dan derita dengan semua ini. Berjanjilah padaNya kita tidak akan lagi melupakan Dia. Kita akur dan taat padaNya.

Tuhan..ampunkanlah kami. Tolong taubatkan kami. Tolong selamatkan kami

Isnin, 4 April 2011

Susahnya mencari kawan yang setia..

Bukan mudah untuk mendapat kawan yang setia
Dapat berkawan waktu susah dan senang
Di waktu dukacita dan gembira
Di waktu kita buntu fikiran dialah yang memberi pandangan
Ketika tidak ada apa yang hendak dimakan, diberi bantuan
Dapat memberi pertolongan sebelum diminta,
karena faham masalah kawan
Apatah lagi apabila diminta
Waktu sakit diziarahi
Di waktu kita mendapat nikmat, dia menampakkan kegembiraan
Kesusahan kawan kesusahannya
Kesedihan kawan adalah kesedihannya

Ahad, 3 April 2011

BERKHAYAL HINGGA LUPA TUHAN

PASANG NIAT DALAM SEBARANG KERJA

Kalau kita keluar rumah tidak memasang apa-apa niat
Rugi sekali
Kalau kita membuat sebarang kerja tidak ada niat apa-apa
Kita membuang masa
Jika kita membaca tidak ada apa-apa matlamat hanya sekadar ingin ilmu
Termasuk mensia-siakan umur kita
Sekali-sekala kita rehat-rehat tidak mempunyai niat
Terbuang sahaja masa kita
Kita makan, minum, berpakaian hanya berlaku begitu sahaja
Kita telah merugikan kebiasaan
Kita berseronok-seronok dengan anak isteri tidak ada tujuan apa-apa
Masa kita percuma sahaja
Sekalipun apa yang kita buat, usaha, makan dan minum belum termasuk kawasan dosa
Tapi kita telah mensia-siakan itu semua
Kalau kita pasang niat dihubungkaitkan dengan Tuhan, bukankah ia jadi ibadah
Berapa banyak ibadah-ibadah tambahan yang kita perolehi
Jika di dalam satu perkara itu memasang niat yang banyak, lebih-lebih
lagi bertambah banyak pahala kita
Hanya yang kita pasang niat ibadah-ibadah asas
Selain itu kita membuatnya bersahaja tanpa apa-apa matlamat
Kalau begitu apa matlamat hidup kita sebenarnya?
Mengapa matlamat hidup kita, kita bataskan
Sedangkan apa yang kita buat terlibat dengan masa
Padahal sebahagian kecil amalan kita yang mempunyai niat
Ertinya berapa banyak masa kita yang terbuang begitu sahaja
Di sinilah nanti kita akan menyesal tidak sudah-sudah di Akhirat kelak
Itu kalau masa yang terbuang itu tidak di dalam lingkungan dosa
Jika sudah termasuk kawasan dosa lebih-lebih lagilah kita akan
menyesal dan menderita
Kerana itulah apa sahaja yang hendak kita buat biar ada matlamat
Kerana kita datang ke dunia ini dengan tujuan beribadah kepada Allah Taala
Kalau begitu biarlah seluruh hidup kita menepati ibadah