Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang
perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat
tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya
sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya
merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk
pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang
diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh
jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.
Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang
kesemuanya belum masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum
menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.
Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah
teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan
perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku
memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia
sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung
jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika
sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang
jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya
semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil
bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana
inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini
kepada tempe, Amin".
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit
bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula
didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum
terkabul.
Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang
untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua
itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil
berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan
masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa
perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk
berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara
aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,
jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang
perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.
Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.
Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan
dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia
membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang
terjadi? Tempenya masih belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada
Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil.
Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil
jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang
jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe
yang baru separuh menjadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para
pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama
penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu
seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil
jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih
menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.
Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan
langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah
penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita."Maaf ya, saya
ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari
tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih
belum berjumpa lagi."
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak
berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya
mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di
depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan, saat ini
aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula,
Amin".
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun
penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan
bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak
membeli tempe yang belum jadi?"
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan
ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi
supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang
sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana
tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah
pun dimakbulkan oleh Tuhan...
Moral:
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap
apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita
sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan
Allah Maha Berkuasa...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan