MINDA TERKINI MENUJU JALAN TAQWA...

Doa Senjata Orang Mukmin, Sedekah Lebih Tajam Dari DOA


Ahad, 3 April 2011

APA ITU AMALAN DAN USAHA TAQWA?

Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa. Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa tidak pernah diberitahu. Syarat-syarat dan rukun-rukun taqwa juga tidak pernah dinyatakan. Orang sudah lali dengan per­kataan taqwa. Sesetengah orang menganggap perkataan taqwa itu sudah tidak ada erti apa-apa lagi kerana kebanyakan orang tidak faham.
Sebab itu, setiap kali disuruh bertaqwa, orang tidak ber­taqwa. Disebut Ittaqullah, ‘bertaqwalah kamu kepada Allah’, namun orang tidak bertaqwa juga. Walhal suruhan supaya bertaqwa itu disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat kerana ia adalah rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak sah sembahyang Jumaat walaupun sembahyang khusyuk. Tetapi walaupun selalu disebut, orang tidak faham. Ia tidak jadi ilmu, ia tidak jadi amalan dan pegangan, jauh sekali untuk dihayati. Oleh itu macam mana hendak jadi orang yang bertaqwa.
Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan mening­galkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauh­kan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat mening­galkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata­mata.
Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan kadhi. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat ke­selamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang terpokok dalam agama.
Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauh­kan kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan