MINDA TERKINI MENUJU JALAN TAQWA...

Doa Senjata Orang Mukmin, Sedekah Lebih Tajam Dari DOA


Ahad, 26 Ogos 2012

SYAWAL BUKAN UNTUKKU

Ramadhan pergi jua akhirnya. Aku hanya mampu melambai lemah kepada tetamu agung kiriman Tuhan untukku itu. Penuh sesal kerna tidak mampu melayaninya dengan sebaik mungkin,sedang 'dia' datang bersama anugerah terindah dari Tuhan buat hamba-hamba yang dikasihinya. Benarlah..Tuhan merentangkan peluang yang sama untuk setiap kita,walau akhirnya natijah kita berbeza.

Tirai Ramadhan berlabuh tanda Syawal kini menjelma. Hari kesyukuran bagi mereka yang bertaqwa yakni mereka-mereka yang telah memenangi nafsunya disepanjang Ramadhan yang mulia. Mereka itu ialah orang yang berjaya memiliki semua ganjaran dan keistimewaan yang Tuhan siapkan di bulan Ramadhan. Tuhan datangkan Syawal untuk meraikan hamba yang telah membuktikan ketaatan mereka. Puasa yang benar-benar merubah peribadi kepada yang lebih indah.

Bagaimana pula nasibku di Syawal ini? Aku cukup yakin bahawa Syawal bukan untukku. Malu rasanya untuk turut sibuk merayakannya walhal Ramadhanku bagaikan sia-sia. Segala ibadah yang dibuat hanya rangka sahaja. Macam bangkai yang tidak bernyawa. Apakah dengan itu aku boleh merasa layak untuk berhari raya?

Namun wahai Tuhan..kau izinkan juga aku untuk ikut serta memeriahkan aidilfitri ini. Kenapa? Rupanya dihari ini aku diminta untuk turut meraikan kemenangan orang-orang yang bertaqwa. Syawalku hanyalah kerana menumpang kejayaan besar yang mereka cipta. Baiknya Tuhan bersama orang-orangnya. Memberi peluang dimana saja. 

Untuk itu aku sepatutnya menyambut hari raya dengan penuh dukacita. Walau zahirnya aku ikut memakai baju raya,hati sepatutnya sedang menangis. Menangisi kebaikan Tuhan yang maha baik itu. Dengan itu aku tidak akan sanggup untuk berlalai dan berfoya dihari ini. Apa lagi untuk sampai berhibur dan membuat dosa. Mudah-mudahan nikmat besar ini dapat ku kongsikan juga untuk mereka yang tidak berada.

Ramadhan pergi..moga rohnya tetap disini. Temanilah aku disisi agar keagungannya itu akan terus merubah rohku jua akhirnya. Janganlah aku ditinggalkan langsung untuk terjerumus ke lembah yang sama. Dihari ini aku memohon agar Tuhan panjangkan sedikit lagi umurku untuk terus aku baiki Ramadhanku. Kalau pun tidak begitu,biarlah aku pergi kelak membawa hati Ramadhan yang diberkati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan